Memandangkan masih terdapat tempat kosong pada minit-minit terakhir, maka pihak penganjur sangat berbesar hati untuk membuka semula penyertaan bagi FlyHigh 2012. Kepada yang berminat, anda bolehlah mengisi borang di link yang diberi.

Tanggal 8 Februari 2008, itulah kali pertama dalam hidup saya, meninggalkan Malaysia untuk menuntut ilmu di negara orang. Setelah mengharungi penerbangan hampir lapan jam, akhirnya saya tiba di Melbourne, Australia. Kalimah pertama yang muncul keluar dari bibir ini adalah alhamdulillah. Doa saya selama ini untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara akhirnya dimakbulkan Allah. Turut disertai adalah linangan air mata di kelopak. Pertamanya, perasaan sedih kerana terpaksa berpisah dengan keluarga tersayang untuk seketika. Keduanya, perasaan gembira kerana diberi kesempatan oleh Allah untuk merasai nikmat Allah di negara orang.
Saya memperoleh Bachelor of Sciene daripada Monash University. Kemudiannya, saya menyambung pengajian ke peringkat Bachelor of Science (Honours) di Royal Melbourne Institute of Technology. Alhamdulillah, ilmu itu adalah milik Allah. Ilmu itu hanya dipinjamkan kepada saya untuk sama-sama berganding bahu untuk membina masyarakat yang berilmu.
Solat
Pengalaman pertama menunaikan solat di sini adalah apabila waktu maghrib bermula pada pukul 8.30 malam. Walaupun jam di tangan sudah menunjukkan pukul 8.00 malam, tetapi keadaan persekitaran masih cerah dan sangat sesuai untuk melakukan aktiviti-aktiviti petang. Suasana ini sangat-sangat berbeza dengan di Malaysia. Subuh keesokannya adalah pada pukul 4.45 pagi dan tamat pada pukul 6.00 pagi.
Pengalaman berada di negara empat musim menyebabkan saya lebih menghargai waktu solat di Malaysia yang lebih konsisten sepanjang tahun. Di sini, saya dapat simpulkan waktu solat berubah sangat ketara, bergantung kepada musim. Contohnya pada musim panas, waktu subuh akan bermula seawal 3.50 pagi manakala waktu isyak hanya akan bermula pada pukul 10.30 malam. Jika dibandingkan dengan musim sejuk, waktu solat subuh akan bermula seawal pukul 6.15 pagi manakala waktu solat isyak akan bermula seawal jam 6.30 petang.
Menunaikan solat di sini bukanlah satu masalah. Kita boleh melakukan solat di mana-mana sahaja asalkan tempat untuk menunaikan solat itu bersih. Masyarakat di sini sesekali tidak akan memandang remeh terhadapa solat yang kita lakukan. Saya berpengalaman menunaikan solat di padang, di atas jalan raya, tempat parkir kereta, di atas pantai, di dalam perpustakaan dan di tempat persalinan lampin bayi. Pengalaman ini saya rasa sangat sukar untuk diperoleh sekiranya kita berada di Malaysia.
Di RMIT, kemudahan solat sangat mudah. Pihak universiti ada menyediakan Spiritual Centre untuk kita melakukan solat. Solat Jumaat juga ditunaikan pada tempat yang sama. Pada bulan Ramadhan, solat sunat Tarawih juga ditunaikan di Spiritual Centre. Selain untuk menunaikan solat, Spiritual Centre juga menjalankan pelbagai aktiviti lain seperti kelas Al Quran. Kelas Al Quran ini diadakan pada hari Selasa dan Khamis. Selain memperoleh ijazah nanti, inshaAllah kita juga sempat untuk memperbaiki bacaan Al-Quran daripada saudara muslim kita dari negara lain.
Makanan Halal
Mencari makanan halal bukanlah sesuatu yang sukar di Melbourne ini. Di mana-mana sahaja, inshaAllah kita boleh mendapatkan makanan halal. Bahan-bahan mentah yang halal untuk masakan juga mudah didapati di Melbourne.
Di sekitar RMIT, terdapat banyak kedai makanan yang halal. Antaranya Es Teller, Nelayan, Blok M, Bali Bagus dan pelbagai lagi. Justeru, saya dapat simpulkan bahawa untuk memperoleh makanan halal di sekitar RMIT bukanlah satu isu yang sangat besar.
Mata Wang
Perkara pertama yang perlu dibiasakan adalah penggunaan mata wang Dollar Australia, dan bukan lagi Ringgit Malaysia. Sewaktu pertama kali saya membeli makanan di Australia, saya masih lagi menukar harga makanan tersebut dalam Ringgit Malaysia. Ini menyebabkan semua makanan atau perlatan di sini sangat mahal harganya. Makanan yang pertama di beli adalah kebab. Harga kebab di sini AUD8/RM24 MashaAllah, harga kebab di sini sangat mahal. Taraf hidup di sini sangat mahal menyebabkan saya terfikir, bagaimanakah saya akan menjalani hidup di sini untuk tempoh empat tahun akan datang?
Bagi adik-adik yang ingin menyambung pengajian di luar negara, saya dapat simpulkan bahawa banyak peluang dan pengalaman akan diperoleh nanti. Pengalaman manis mahupun pahit adalah lumrah kehidupan. Jadikan pengalaman manis itu sebagai satu cerita untuk dikongsikan bersama manakala jadikan pengalaman pahit itu sebagai pengajaran untuk menjadi insan yang lebih matang di kemudian hari. Walaubagaimanapun, apa yang lebih penting adalah kita akan dapat melihat Islam itu dengan lebih luas daripada apa yang kita lihat di Malaysia. Ukhuwah antara kita akan bertambah erat kerana rakan-rakan kita adalah keluarga kita sendiri nanti. InshaAllah.
Oleh: Mohd Azri Pawan Teh Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT)“Don’t Just Jump, Lets FlyHigh!”
Oleh: Muhammad Zulhilmi Kamarudin
The University of Western Australia
Australia atau lebih dikenali sebagai bumi kanggaru dan koala telah menyambut kehadiran diriku dan rakan-rakan yang lain bagi merealisasikan impian untuk menggarap dan mencedok ilmu serta segunung pengalaman hidup yang amat berharga. Ketiadaan pengalaman menerokai dunia luar negara membuatkan kami tidak senang duduk dan pelbagai soalan berkeliaran di fikiran masing-masing . Namun begitu, Alhamdulillah setibanya kami di lapangan terbang antarabangsa Perth, kami telah disambut dengan meriahnya oleh senior-senior. Kehadiran mereka sedikit sebanyak membantu kami untuk memulakan kehidupan di negara asing terutamanya apabila kesanggupan mereka untuk membantu mencari rumah serta pelbagai perkara asas lain yang pastinya sukar diuruskan tanpa memahami adat dan budaya setempat.
Perth sebuah tempat unik dan menarik di Australia
Musim panas yang mencecah sehingga 40⁰C yang bermula akhir November sehinggalah bulan februari pastinya menjadi dugaan bagi pelajar baru seperti kami. Cuaca sebegini jika diteliti tidak terdapat di kawasan lain di Australia. Ketika inilah, pelbagai aktiviti air banyak berlansung di mana-mana tempat di Western Australia. Sebagai contoh, aktiviti layar (sailing) dan menangkap ketam serta beriadah di pantai sentiasa menghiasi aktiviti kami di hujung minggu pada musim ini.
Selain daripada itu, Perth turut terkenal dengan sebuah taman dalam bandar terbesar di dunia yang dikenali sebagai Kings Park. Pemandangan bandar Perth disertai dengan kebiruan air Swan River terutamanya di waktu matahari terbenam menjadi antara tarikan utama disini. Taman ini turut menempatkan pelbagai tumbuh-tumbuhan tempatan termasuklah tumbuhan berbunga yang dikumpulkan di Botanical Garden. Sebagai info, taman ini sering dilawati dan menjadi tempat riadah bagi penduduk tempatan dan pelancong terutamanya ketika hujung minggu.



Kings Park
The University of Western Australia
University of Western Australia (UWA) memiliki pelbagai konsep senibina terutamanya senibina lama(klasik) yang dipertahankan oleh pihak universiti. Terkenal dengan sebuah bangunan yang menjadi antara lokasi pilihan bagi pembikinan filem Harry Potter, Wintrop Hall merupakan antara bangunan tertua di univesiti ini. Konsep university dalam taman dapat jelas dilihat dengan meluasnya tumbuhan hijau ditanam serta haiwan liar seperti burung merak dibiar berkeliaran bagi mewujudkan suasana tenang kepada para pelajar.

- Wintrop Hall
Islam yang berharga
Pastinya ada yang terdetik, bagaimana hendak bersolat atau berpuasa di bumi Aussie ini atau secara umumnya untuk mempraktikkan Islam. Alhamdulillah, sekiranya anda ditempatkan oleh Allah untuk berada di universiti ini, anda sebenarnya bertuah dan beruntung kerana disini masyarakat setempat amat menghormati agama masing-masing tanpa sifat sceptical yang keterlaluan. Sebuah surau telah diperuntukkan khas oleh pihak universiti bagi memudahkan umat islam untuk menunaikan kewajipan mereka. Selain itu, surau serta masjid banyak terdapat disekitar bandar Perth selain sesetengah tempat turut memperuntukkan tempat atau sudut khas bagi umat Islam melakukan kewajipan mereka untuk bersolat.
Selain itu, makanan halal amat mudah didapati di sini (Perth). Terdapat pelbagai jenama yang telah diisytiharkan halal oleh jawatankuasa kebajikan Islam Australia dijual di pasaraya-pasaraya di seluruh Australia. Walaupun begitu, perlu diingatkan bahawa perhatian dan keprihatinan tetap perlu diberikan sewaktu membeli belah ataupun makan di restoran agar segala makan dan minum kita adalah berdasarkan dari sumber yang halal dan baik.
Sambutan bulan ramadhan disini disambut dengan penuh sederhana oleh sesama rakan-rakan serta umat islam yang lain. Amalan berbuka puasa di surau atau masjid serta solat terawih berjemaah menjadi kelaziman bagi para pelajar disini bagi mengeratkan ukhuwah serta menjimatkan kewangan. Berbeza dengan suasana Malaysia, kemeriahan suasana ramadhan memerlukan kekuatan diri dan komuniti islam kerana ia turut diselangi dengan padatnya jadual belajar yang menuntut seseorang itu untuk menguruskan masa dengan sebaik-baiknya di antara keduniaan dan akhirat.
Utamanya, seringkali kita akan ditanya oleh teman yang bukan islam mengenai Islam. Oleh yang demikian, kita hendaklah sentiasa bersedia untuk menjawab soalan-soalan tersebut dengan berhikmah disamping turut berusaha menambahkan ilmu pengetahuan dalam Islam agar rahmat Islam itu tersebar meluas ke seluruh alam dan bukannya berkitar diantara kita sahaja. Alangkah indahnya jika tujuan kedatangan ke bumi asing ini disamping untuk menuntut ilmu menurut bidang masing-masing, turut diselangi dengan niat untuk menambahkan ilmu agama serta menjadi seorang muslim yang lebih baik.
“Don’t Just Jump, Lets FlyHigh!”
Tanggal 12 Februari menyaksikan 3 rakyat Malaysia berbangsa melayu menjejakkan kaki ke bumi kangaroo di Melbourne. Melangkah dengan seribu harapan di dada untuk mendapatkan segulung ijazah dengan kepujian (Honours) dalam bidang aeroangkasa di Monash University Clayton. Tullamarine Airport menjadi nama pertama yang didengar setelah tiba di Australia. “Ya Allah, inikah yang aku nanti-nantikan selama ni?”

A journey of a thousand miles begins with a single step
Segala kepenatan sewaktu di AUSMAT dirasa bagaikan terubat dengan kepanasan musim panas di Melbourne. Namun, itu bukan noktah terakhir dalam perjuangan hidup ini. Rantaian perjuangan akan tetap diteruskan dan kali ini akan diteruskan di Monash University Clayton. Clayton merupakan salah sebuah daerah yang berada dalam lingkungan kawasan bandaraya Melbourne. perjalanan dari Clayton ke pusat bandar metropolitan Melbourne hanya mengambil masa 40 minit memandu kereta. Hal ini menjadikan Clayton sebuah ’suburb’ yang tenang dari kesibukan bandaraya dan begitu kondusif untuk belajar.
Begitulah menjadi ragam pelajar kita di sini yang mana akan mengambil kesempatan ini untuk belajar pada hari Isnin hingga Jumaat dan akan meluangkan masa sepenuhnya pada hari minggu di pusat bandar. Puan Munirah (2011), Pegawai MARA di Australia yang datang ke Monash University baru – baru ini pernah berkata “Saya rasa pelajar kita dari Malaysia sepatutnya diramaikan lagi untuk datang ke Monash University kerana Monash University mempunyai study environment dan nak ke city pun tidak jauh”.
Halalan Toyyiba~
Pada amatan saya sebelum datang ke sini, mencari makanan halal merupakan sesuatu yang amat sukar lebih – lebih lagi di Clayton, sebuah suburb. Tetapi segalanya meleset setelah diri ini merasai sendiri pengalaman di sini. Sungguhpun di Monash Unveristy sendiri mempunyai EMPAT kedai makan yang halal. Laziza Kebab di Hargrave Library, Meeting Point, Monash University Sport Centre, dan akhir sekali di dewan makan di hall of residence. Sememangnya mudah di Monash University!
Penjual daging dan restoran halal juga senang didapati di sekitar bandar Clayton sehinggakan saya tidak pernah merasakan terbeban untuk mencari makanan halal semenjak menjejakkan kaki di sini.
United we stand, divided we fall
Menunaikan solat bukanlah isu di sini kerana Monash University menyediakan dua tempat untuk semua bergelar Muslim untuk menunaikan solat. Salah satunya di Beddoe Avenue yang diberi nama Monash University Islamic Centre dan satu lagi musolla di Multifaith Centre -join Fly High for more infos
-
Komuniti Islam di sini terdiri daripada pelbagai kaum, daripada Melayu hinggalah Arab. Komuniti di sini begitu bersatu satu sama lain dan selalu menganjurkan aktiviti terutama sekali pada bulan Ramadhan dan bulan Syawal. Sehinggakan tidak saya berkesempatan untuk menghadiri kesemua aktiviti yang diadakan.
Bagi adik – adik yang hendak melanjutkan pelajaran ke luar negara, suka saya mengingatkan bahawa kehidupan ini akan sentiasa diwarnai oleh ujian dan kesenangan. Semua yang saya coretkan sebentar tadi semuanya berukir dengan kesenangan. Ingatlah ujian dan kesenangan bagaikan tali sauh (tali yang besar tu) yang meliliti satu sama lain untuk digunakan oleh kapal. Lihatlah, betapa kukuhnya! Begitulah juga diri kita dan bagaimana kita menyulam kesenangan dan ujian yang kita harungi untuk membentuk jati diri. Wallahua’lam.
Oleh: Ahmad Syahmi Sayuti (Monash University)
“DON’T JUST JUMP, LETS FLYHIGH!”

Penulis: Zulaikha Zubir (Curtin University, Perth)
Alhamdulillah dengan segala nikmat yang Allah berikan yang tidak terhitung banyaknya. Sesungguhnya ayat Allah ternyata benar; Setiap kesusahan ada kesenangan. Saya bukanlah pelajar genius yang mudah faham apa yang diajar, malah saya perlu berusaha berlipat ganda berbanding orang lain untuk mendapat sesuatu. Segala penat lelah yang diharungi bersama-sama rakan di INTEC terbayar apabila mendapat tahu akhirnya saya layak ‘terbang’.
Februari 2011 di Perth
Subhanallah, begitu teruja mahu menimba ilmu di negara orang. Pesanan ibu ayah disemat kemas-kemas dalam hati. Cuaca panas ketika itu menyambut kedatangan saya dan rakan-rakan di Perth. Kami disambut oleh Timbalan Konsul Malaysia dan senior-senior. Keramahan dan keikhlasan mereka menolong kami mengingatkan saya kepada kisah Muhajirin dan Ansar. Masyarakat ‘Ansar’ Perth telah banyak berjasa kepada kami – golongan ‘Muhajirin’ dengan membantu dalam urusan pendaftaran universiti, mencari penginapan tetap dan menasihati kami dalam banyak perkara. Semangat ukhuwah yang padu antara kami kadang-kadang mengharukan saya. Moga tali persaudaraan ini sentiasa dipelihara-Nya.
Curtin University, Perth
Belajar ilmu farmasi di sini sungguh menerujakan. Pensyarah di sini cukup berpengalaman dan sentiasa bersedia membantu para pelajar. Bagi mereka, tiada soalan bodoh dalam kelas. Pemandangan yang cantik dan kemudahan yang disediakan sangat sesuai untuk proses pembelajaran. Seni bina bangunan di sini juga menarik dan dikelilingi tumbuhan-tumbuhan yang menenangkan. Kafe di sini juga turut menyediakan makanan halal. Surau juga disediakan untuk pelajar Muslim. Sepanjang bulan Ramadhan, saya berbuka puasa dan solat terawih di surau ini.
8am Malaysia vs 8am Australia
Saya sangat kagum dengan pensyarah di sini yang cukup berdisplin. Sepanjang 7 bulan di sini, saya dapati mereka tidak pernah membatalkan kelas. Kelas juga pasti dimulakan tepat pada masanya. Saya juga kagum dengan pelajar-pelajar di sini. Idea yang mereka lontarkan sentiasa matang dan kreatif. Insyallah saya akan berusaha mengambil ibrah daripada keadaan sekeliling di sini agar menjadi seorang yang lebih baik dari hari semalam.
Dan bertebaranlah kamu di bumi Allah
Saya mahu menimba sebanyak-banyak pengalaman di sini. Saat melawat ke tempat-tempat menarik tidak mungkin dilupakan. Tika melihat sendiri keindahan bunga tulip di musim bunga, dolphin dan penguin dan memeluk kanggaru, saya dan rakan-rakan begitu seronok. Saban setiap bulan, pasti ada sahaja aktiviti ‘berjalan’ yang dibuat bersama rakan-rakan di sini. Makanan halal di sekitar bandar Perth juga mudah dicari. Komuniti Islam juga ramai dan saya sangat menyukai budaya memberi salam antara satu sama lain di sini.
Tipulah kalau saya katakan hanya yang manis-manis diperoleh di sini. Banyak juga cabaran yang terpaksa dihadapi. Namun, saya bertuah kerana kawan-kawan sentiasa di sisi. Kekuatan diri perlu dicari dan saya yakin, setiap perkara perlu dimulai dengan niat yang betul dan azam kuat. Walau cabaran sesusah mana sekalipun, saya yakin cabaran-cabaran ini tidak mampu menandingi pengalaman manis di sini.
Don’t Just Jump, Lets FlyHigh!



